My Portfolio


Aku menggunakan beberapa nama pena iaitu essjay, jihad, fatamorgana dan fenomena termasuk yang terkini jihad musafir. Nama sebenarku ialah Tajol Ariffin bin Hasan, lahir di Kg Kemadak, Lubok China, Melaka pada 04hb feb, 1967. Bersekolah rendah di Sek. Keb. Titian Bintangor, Negeri Sembilan. Bersekolah menengah di Sek. Men. Lubok China, Melaka. Tak sempat menyambung pelajaran meskipun mendapat keputusan baik dalam SPM kerana masalah kewangan keluarga. Aku banyak menghabiskan masa di Singapura ketika zaman persekolahan kerana kedua ibu bapa aku menetap di sana (Jurung Avenue).

Setelah tamat persekolahan, aku berhijrah ke Seremban untuk mencari pekerjaan. Aku bekerja di sebuah kilang penapisan minyak masak. Kemudian aku bekerja di Bangi dalam bidang penerbitan. Aku terbabit dalam kerja-kerja pemasaran, pruf reader dan editor.

Kemudian aku berhijrah lagi dengan bekerja sendiri. Aku menubuhkan Essjay Marketing yang mengkhususkan bidang pemasaran buku ke agensi kerajaan. Kemudian aku juga menubuhkan Afa'al Resources yang dikendalikan oleh isteriku. Ia juga sebuah syarikat yang menumpukan kepada pemasaran buku dan terbabit juga dengan perniagaan pembersihan kawasan/pejabat serta membekal peralatan pejabat/sekolah.

Aku aktif berpersatuan. Aku menyertai kelab kereta Wajaclub (WC). Semasa dalam WC aku sempat mendaftarkan NGO itu secara sah di Pejabat Pendaftar Persatuan (ROS). Dalam WC aku pernah menjawat sebagai Timb. Setiausaha, Setiausaha dan Timbalan Presiden WC Malaysia. Sepanjang dalam WC, aku terbabit secara langsung dalam urusetia Hari Keluarga WC iaitu pada 2008 di Cherating dan 2009 di Melaka. Juga menjadi urusetia Pra-AGM WC di Putrajaya pada 2009 dan AGM WC kali pertama juga di Putrajaya. Sekarang, aku dilantik sebagai Penasihat WC bermula 2011.

Selain WC, kelab kereta lain yang aku turut terbabit ialah Provoc iaitu kelab kereta bagi jenama Persona. Aku terbabit sejak awal penubuhan Provoc (2016) lagi termasuk membantu SU merangka Perlembagaan Provoc dan mendaftarkannya ke E-roses. Aku dilantik menjadi Penasihat 1 Provoc. Bagaimanapun pembabitan aku dengan Provoc cuma setahun lebih sahaja. Aku melepaskan jawatan sebaik selesai AGM pertama Provoc.

Oleh kerana aku berniaga, maka aku juga menjadi ahli Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Sembilan (PPPKMNS) - Cawangan Seremban Selatan. Aku adalah Setiausaha cawangan dan AJK Negeri. Bersama Timbalan YDP Cawangan, aku menguruskan pentadbiran laman blog persatuan. Aku juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Negeri bagi gabungan persatuan penjaja Melayu Malaysia (Gapema). 

Aku juga adalah Ahli Lembaga Koperasi (ALK) Koperasi Usahawan Melayu NS Berhad (KUM(NS) B). (KUM(NS) B) adalah koperasi yang ditubuhkan oleh PPPKMNS.  Juga penasihat koperasi penaja Koseb1.

Untuk NGO di kawasanku, aku juga aktif dalam KRT, RELA, Badan Kebajikan RPSF2, Surau Infitah Al-Khairiah dan Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 serta Pertubuhan Khairat dan Kematian Kariah Taman seri Mawar. Melalui persatuan, aku dapat bercampur dengan masyarakat. Aku juga memegang beberapa jawatan dalam persatuan/NGO seperti Timbalan Pengerusi KRT, SU Badan Kebajikan, SU Persatuan Penduduk, SU Pertubuhan Khairat, SU Surau Infitah Al-Khairiah kemudian menjadi pengerusi surau yang sama, dan SU Cawangan untuk sebuah pertubuhan politik. Untuk NGO-NGO tersebut, aku banyak terbabit dalam penyediaan kertas kerja.

Bagaimanapun menjelang pertengahan 2018, aku melepaskan hampir kesemua jawatan-jawatanku dalam NGO terbabit untuk berehat dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga

Sebagai peminat bidang penulisan, aku juga menyertai Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Aku adalah ahli seumur hidup PEN. Sekarang, aku kurang menulis kerana sibuk dalam berpersatuan. Kalau menulis pun dalam blog dan dalam bentuk e-book.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Monolog.....
Aku dan WajaclubKeindahan Kembara Yang Tidak Terjangkakan
Bermula dengan suka-suka sekadar mencari teman-teman akhirnya Menemukan rakan dan sahabat

Mungkin pengaruh atau memang dah dilorongkan, jenama kereta nasional waja ini langsung tiada dalam kotak fikirku. Aku lebih senang ke hulu ke hilir malah melewati segenap negeri di Malaysia ini dengan Iswara hijauku. Kalau terfikirpun untuk menukar kenderaan lain, MPV adalah sasaran utamaku. Maklum keluargaku besar. 7 orang semuanya. Sebelum terjebak dengan kelab kereta waja ini, aku ceritakan dulu bagaimana aku terjebak membeli ‘waja’ ini dulu. Ya, aku tidak memaksa kalian membaca kisah ini, tetapi jika kalian memang telah membaca sampai ke teks ini, maknanya secara tanpa sedar, aku telah menjebak kalian ke dunia permotoranku

Ceritanya bermula begini, seperti biasa aku dengan rakan kongsiku ingin bertemu dengan seorang pustakwan untuk bersarapan pagi. Memang semaklum aku dia mengguna pakai wira putih. Kira jenama kereta nasional la. Dalam perjalanan bertemu dengannya, rakan kongsi aku menalipon pustakawan itu, dia menjawab dia sekarang menunggu kami di sebuah restoran sekitar Bandar Baru Bangi. Kami bergegas ke sana. Aku parking kereta aku betul-betul berhadapan restoran dan kerusi tempat dia minum. Dia senyum tawar melihat aku dan rakan kongsi aku keluar dari saga iswara hijauku. Memang hampeh!. Tapi aku tidak menjangkakan ada kejutan yang lebih hampeh lagi kerana selepas itu tak pasal-pasal duit aku akan terbang 4k! Rasanya belum betul-betul aku menikmati minum pagi yakni segelas teh tarik mamak, pustakawan itu bersuara dengan penuh semangat keegoannya “Bro, aku dah tukar kereta!” Aku buat tak kisah tapi rakan kongsi aku bertanya spontan. “ Kereta apa?” Pustakawan itu menunjuk dengan memek bibirnya “tuuuu!!!, sebelah keta kau tu”. Aku terkasima seketika. Ceh, saiz kereta dia lagi besar dari kereta aku. Waja tu!. Seketika aku rasa secawan teh tarik kedai mamak yang aku minum dah rasa macam sebaldi cuka getah.

Waja dah murah sekarang katanya, seakan mencurah sedikit garam dalam minumanku! Aku tanya dia “berapa ko bayar duit hantaran?”. “Lebih kurang 4K” katanya lagi. Yang tak tahan dia siap cakap “Kalau ko nak, ada 1 lagi waja kaler hitam dah siap modi dia punya bodikit..R3. petang ni aku nak pegi settlekan hal wajaku ni, kalau nak aku boleh tanyakan toke kedai tu” . Sudah!!! Dia tabur racun lak dalam minumanku. Aku cakap kat dia, “okeylah, ko tanyalah...nanti ko kol aku”. Sebenarnya aku tak begitu serius dengan kata-kataku itu sebab aku sayangkan sewara hijauku. Tapi rupanya dia betul-betul tanyakan toke kedai tu dan deal dgn toke tu bagi pihak aku. Menjelang petang pustakawan itu kol aku “Joe, jadi tak? Aku tergamam..hah!!! “ok jadi “ kataku spontan. Lepas tu otak fikirku ligat mencari ilham macam mana nak berdrama dengan orang rumah. Apa alasan terpaling munasabah yang nak aku berikan pada dia. besoknya aku pergi ke kedai kereta tu dengan rakan kongsiku. Ermm..cantik, aku cakap kat toke kedai tu..jadikkkk!!! memang aku suka dengan waja R3 ni sebab aku minat dengan Tenku Djan Lee setelah menonton aksi driffnya di TV. . petang tu aku letak duit hantaran. Aku pesan kat pustakawan tu, aku dah booked! Dokumen aku akan hantar kemudian. Besoknya toke kedai tu kol aku, “Sori encik, R3 tu owner tak jadi jual. Loan dia tak lepas untuk trade in Honda FFR!!” baru aku tahu waja R3 tu owner tumpang letak kat kedai usecar tu. Dengar cerita dia nak ambil Honda. Toke kedai tu jadi racun ketiga pula, “tak apa encik, kami ada banyak stok waja lagi ni. Esok cik datang dan pilih saja mana nak...” rasa aku nak sumpah toke tu dan semua peracun-peracun tu jadi waja R3. Akhirnya tanpa ada plan yang khusus, aku sambar jugak la waja tu. Aku cakap kat orang rumah “Kawan abang nk pinjam cek booked 3 hari. Dia nak bayar muka beli kereta.” Orang rumah aku tak banyak cakap terus tanda tangan cek kosong. 4 hari kemudian toke tu kol aku “encik, loan sudah approve. Boleh datang ambil kereta.” aduhhhhh...!!! apa aku nak cakap dengan orang rumah? Yang dia tahu wajatu bukan aku punya tapi pustakawan itu punya. Ahhh!! Lantak. Aku ajak orang rumah pegi ambil kereta tu. .” Dari seremban kami naik komuter sahaja sampai Mid Valley kerana kalau aku bawak sewara hijauku, nanti sapa pulak nk bawak kereta tu balik Seremban! Kalau biarkan orang rumahku yang memandu..kompom aku sampai Seremban dengan waja tu, dia entah sampai ke mana dengan sewara hijau tu sebab dia tak mahir dengan jalan Kola Lumpur!. Seminggu jugaklah aku pakai waja tu dengan mengatakan ia kepunyaan kawanku (si pustakawan tu). Sampailah isteri ku tanya “Baik betul ya kawan abang tu...bagi pinjam kereta lama-lama kat abang?” akhirnya aku mengalah “ Keta tu kita punya, bukan kawan abang punya!” aku dah bersedia mendengar deruman leteran isteriku. “Aik..? Iswara tu dah rosak ke?..” aku mengambil keputusan diamkan diri. Biar masa menyejukan hatinya. Masalah pertama selesai. Macam mana pula aku nak minta isteriku tanda tangan cek lagi untuk aku make up kereta?. tak payah ceritalah kan..hehehehe. Lebih kurang sebulan je kereta wajaku itu berkeadaan ori kilang. aku bawak ia ke kedai mak andam (kedai eksesori). Aku pasangkan bodikit R3. Masa ni lah aku terserempak dengan gang wajaclub Negeri Sembilan, sdr Sham Marshal (masa ni dia timbalan ketua komuniti Negeri sembilan). Aku mengambil masa lebih kurang seminggu untuk berfikir samada nak joint WC atau terus dengan ProCC. Akhirnya lewat bulan ogos 2008, aku sah menjadi ahli WC Komuniti Negeri Sembilan. Cuma sebagai ahli biasa, tak sangka lak boleh sampai kepada ahli luar biasa. Hehehehe! Yang paling luar biasa bila masuk WC ni ialah duit keluarpun luar biasa. Macamlah aku orang bujang yang nak habiskan duit untuk kereta, bukan untuk keluarga. Sehingga ke satu tahap, aku sedar. Memang tak kemana dengan dunia modifikasi kereta ni. Ia bukanlah matlamat utama aku masuk kelab. Aku hanya mencari rakan dan bizness! Tapi bertukar-tukar idea tentang dunia kereta tu memang antara pengetahuan yang aku dapat secara tidak langsung. Dan lagi jika aku bersama keluarga menikmati cuti-cuti Malaysia, rakan-rakan WC sentiasa ada di mana-mana. Ini antara beberapa perubahan yang aku buat. Kebanyakan perubahan dilakukan secara berperingkat. Tidak sekaligus, tu yang tak perasan baki akuan semakin berkurangan tu... Yang kelakarnya, ia bukan idea aku tapi idea rakan-rakan WC. Idea aku cuma, macam mana nak cover balik duit yang terbang? Dan lagi semakin aku memikirkan untuk tidak melabur pada wajaku, semakin banyak pula dugaan berupa pujukan dari rakan-rakan kelab... Akhirnya aku sedar dari angan yang panjang, dari lena yang sunyi, masih ada keperluan lain yang perlu aku bawa dalam mimpi malam...sebelum orang lain menganggap aku telah mengingau...!!!
Ditulis: 10 Januari, 2011

DEKLARASI

Deklarasi
Semua butiran dan artikel yang disiar dalam blog ini hanyalah pendirian peribadi penulis, tiada kena mengena dengan yang hidup dan mati; kecuali yang dinyatakan. Pengendali tidak akan bertanggungjawab ke atas segala isu-isu berbangkit.