Kalam Bismillah

Rakaman gambar berbicara dengan bahasa warna dan titik fokus...

Ka'abah

Rakaman gambar berbicara dengan bahasa warna dan titik fokus...

Kalimah Allah

Rakaman gambar berbicara dengan bahasa warna dan titik fokus...

Kalimah Tauhid

Rakaman gambar berbicara dengan bahasa warna dan titik fokus...

Masjid Kristal

Rakaman gambar berbicara dengan bahasa warna dan titik fokus...

Memaparkan catatan dengan label NGO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NGO. Papar semua catatan

Isnin, 24 April 2017

SEJARAH WAJACLUB. DI SINI IKATAN PERSAHABATAN BERMULA DAN BERAKHIR

Kronologi 1 : Titik Mula
Hasil pertemuan demi pertemuan tidak rasmi antara beberapa orang pemilik kereta waja, akhirnya tercetus idea salah seorang pemilik untuk menubuhkan sebuah kelab pemilik kereta jenama Proton Waja. Sekitar bulan Mei tahun 2005, maka tertubuhlah sebuah kelab kereta Proton Waja yang diberi nama WMC.KL (Waja Motorsport Community Kuala Lumpur). Presiden pertama WMC.KL ialah Arwah Razif yang menetap di Johor. Bagaimanapun kesinambungan kelab ini tidak kesampaian. Ia berkubur setelah pemergian Arwah Razif iaitu pengasas kelab WMC.KL

Bagaimanapun, setelah sekian lama, beberapa orang ahli lama telah berusaha kembali untuk menghidupkan WMC.KL ini dengan nama baru dan juga semangat baru iaitu WajaClub atau WC. Secara rasminya WC telah ditubuhkan pada Oktober 2006. Presiden kelab dengan nama yang baru ini ialah Sdr Fairus X-WC011. Seterusnya tempat beliau digantikan oleh Mahadir X-WC001. Forum dan laman web wajaclub (www.wajaclub.com) wujud ketika ini dan adminnya ialah Sdr Fairus sendiri merangkap moderator forum dengan dibantu oleh beberapa ahli. 

Dalam memantapkan media siaran pantas WC, forum dan blog menjadi platform utama WC. Ia adalah media sosial utama WC ketika itu selain PTT. Forum WC menjadi medan sembang maya. Ia menempatkan antaranya bicara umum dan teknikal dengan beberapa orang moderator dilantik antaranya Abg Joe, azmi punai, Bad, R-Mat tebo, Ustat Tebo, Amir KMC dan beberapa nama lagi. Melalui forum inilah Abg Joe menganyam dan menyatukan idea semua forumers dalam menentukan nawaitu dan halatuju WC dengan lebih jelas. Moto WC – ‘Wajaclub Peneraju Dunia Permotoran Negara’ adalah hasil ilham Azlishah X-WC153. Abg Joe sendiri mencipta Ikrar WC dan menafsir Logo WC serta membuat undang-undang berforum. Di dalam forum inilah kebanyakan ahli-ahli mendapat gelaran. 

URL WC ini pun pernah luput selepas era pentadbiran sdr Fairus dan Abg Joe berakhir pada 2010. Bagaimanapun setelah sekian lama, ia berjaya diperolehi semula. Forum WC pun turut terabai setelah admin dan moderatornya beralih kepada facebook. Begitu juga dengan beberapa laman blog ciptaan Abg Joe menjadi dorman. Ada beberapa blog yang sempat dipindah pentadbiran oleh Abg Joe kepada Sham Jerung dan juga Vi Hashim. 

Menerusi media sosial tersebut, jajahan WC tidak hanya menular di Selangor sahaja tetapi sedikit di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak dengan keahlian lebih kurang 50 orang. Namun WC terbina dengan semangat brotherhood yang kuat. Semuanya seperti adik beradik.

Bagi memantapkan lagi urus tadbir WC, pihak pentadbir WC telah berusaha untuk mendaftarkan WC sebagai sebuah pertubuhan kelab kereta yang sah berdaftar dan menurut undang-undang pendaftaran. Ini bermaksud mereka mahu mendaftarkan WC ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM). Ketika ini, kesedaran untuk mendaftarkan kelab kereta secara sah dikalangan ahli kelab-kelab kereta masih kurang. WC dikira antara kelab terawal yang berbuat demikian. Bahkan ia seterusnya  menjadi modul untuk kelab-kelab lain merujuk ketika mereka pula ingin mendaftar dengan JPPM.

Bagaimanapun usaha dan gerak pendaftaran WC agak perlahan dari 2006 sehingga penghujung 2008 atas beberapa faktor antaranya kengkangan masa dan kehilangan tumpuan. Sehinggalah pada tanggal 17hb januari, 2009, jam 21:30 malam bertempat di rumah Peyrus evo4 (mantan presiden wajaclub 2010) Putrajaya; mesyuarat pertama AJK Penaja wajaclub berjaya dijalankan. Mesyuarat tersebut diadakan setelah sdr Kamarul X-WC059, (yang ketika itu adalah PRO WC) meminta tolong pada sdr Tajol Ariffin aka Abg Joe X-WC092 untuk pergi ke pejabat JPPM Negeri Sembilan bagi mendapatkan segala keperluan dan butiran pendaftaran. Mesyuarat tersebut telah diminitkan oleh Abg Joe selaku setiausaha tidak rasmi ketika itu.

13 orang hadir pada mesyuarat pertama penubuhan tersebut iaitu :
  • 1. Sdr Hasrulnizam (Aloy) – X-WC002
  • 2. Sdr M. Khairul (Lola) – X-WC003
  • 3. Sdr Tajol Ariffin Hasan (Abg Joe) – X-WC092
  • 4. Sdr Azmi (Azmimaniac/punai) – X-WC065
  • 5. Sdr Fairus (Peyruz evo4) – X-WC011
  • 6. Sdr Shahrulnizam (Shah biru) – X-WC008
  • 7. Sdr Kamarudin (Kudin) – X-WC009
  • 8. Sdr Kamrul Firdaus (Kamarul) – X-WC059
  • 9. Sdr Zarkhan (Abg Long) – X-WC100
  • 10. Sdr Nazri (Wan Dugung) – X-WC020
  • 11. Sdr Mohd Aza (Ajai) – X-WC110
  • 12. Sdr An-Nas (Annas) – X-WC070
  • 13. Sdr Muhammad Aimran (Aim) – WC072
Jumlah kehadiran ini adalah cukup syarat untuk mendaftarkan sesebuah pertubuhan menurut Akta Pertubuhan 1966. Syarat jumlah minimum kehadiran AJK Penaja mestilah 7 orang. 

Agenda utama mesyuarat adalah untuk melantik AJK Penaja bagi memulakan langkah pertama pendaftaran WC. Sdr Lola memaklumkan memandangkan pendaftaran WC ini sudah terlalu lama tertangguh, maka dia amat berharap mesyuarat kali ini dapat merealisasikan harapan semua ahli. Sdr Kamarul yang mempengerusikan mesyuarat tersebut memohon mesyuarat memutuskan di manakah WC hendak didaftarkan? Siapakah yang akan mendaftarkan dan apakah nama yang hendak didaftarkan? Sdr Lola mengatakan beliau tiada masalah di manapun WC hendak didaftarkan asalkan ia dapat didaftarkan secepat mungkin. Mesyuarat memutuskan tiada negeri khusus ditetapkan, yang paling penting ialah WC dapat didaftarkan dengan kadar segera walaubagaimanapun caranya. Akhirnya tanggungjawab mendaftarkan WC diserahkan kepada Abg Joe memandangkan dia ada pengalaman mendaftarkan NGO. Maka secara automatik pendaftaran WC dibuat di Negeri Sembilan. Alamat berdaftar WC juga akan menggunakan alamat pejabat Abg Joe di Senawang. 

Berdasarkan borang pendaftaran yang ada dibawa bersama oleh Abg Joe, maka beliau mohon mesyuarat membuat pelantikan AJK Penaja pada malam itu juga. Berikut adalah AJK Penaja yang telah dipilih dalam mesyuarat bertarikh 17 januari, 2009 :
  • 1. Presiden – Aloy
  • 2. Timbalan Presiden (VP) – Lola
  • 3. Setiausaha – Abg Joe
  • 4. Penolong Setiausaha – Azmi punai
  • 5. Bendahari – Peyruz evo4
  • 6. Penolong Bendahari – Shah biru
  • 7. Pemeriksa kira-kira – Kudin
4 orang AJK tambahan –
  • 1. Zulkifli Mat Husain
  • 2. Sham Marshall
  • 3. Annas
  • 4. Azeny    
Kronologi 2 : Pendaftaran
Ketika ini proses pendaftaran sesebuah NGO adalah secara manual. Maka tidak hairanlah kenapa pendaftaran wajaclub mengambil masa yang lama kerana proses kelulusannya juga adalah secara manual. Abg Joe terpaksa berulang alik ke JPPM Negeri Sembilan untuk proses pendaftaran tersebut. Ia memakan masa sehingga 7 bulan. Pertama, perlu mendapatkan CD-UTC bagi mendapatkan draf perlembagaan kelab kerana ketika ini tiada perlembagaan tersedia seperti di dalam sistem sekarang. Perlembagaan kelab adalah proses paling rumit kerana sedikit kesilapan pindaan akan melambatkan lagi proses pendaftaran. Begitu juga dengan nama kelab. Tidak boleh semata-mata di dalam Bahasa Inggeris. Segala borang juga kena ditanda tangani oleh Abg Joe selaku setiausaha dengan Aloy selaku presiden.

Akhirnya nama yang boleh didaftarkan ialah Kelab Pemilik Kereta Waja Negeri Sembilan. Abg Joe berjaya juga memohon dimasukan dalam kurungan nama (Wajaclub) sebagai shortform dari nama kelab. Pada tanggal 30hb julai, 2009, Kelab Pemilik Kereta Waja Negeri Sembilan atau lebih dikenali sebagai wajaclub atau WC berjaya didaftarkan dengan No pendaftaran asalnya ialah 1613-09NSE. Presiden WC (2009) yang baru ialah sdr Hasrulnizam Abdullah atau Aloy. Pemegang jawatan seterusnya boleh dirujuk pada Kronologi 2. Sijil lahir WC disampaikan dalam satu majlis gemilang di JPPM Melaka yang dihadiri oleh R-Mat Tebo X-WC109 (Mantan KK Melaka) bersama Manap Hijau WC030 (Mantan KK Johor dan mantan Presiden WC Malaysia 2011/2012/2013).

Meskipun WC didaftarkan di Negeri Sembilan dan masih berstatus Negeri, ia bukanlah halangan dan menjadi masalah besar pada semua MT ketika itu. Ia tidak menjadi isu besar kerana masing-masing tahu nawaitu masing-masing. Status WC kekal sehingga sekian lama membuktikan semangat brotherhood cukup menebal dalam hati setiap ahli WC. Namun Abg Joe pun bukan berdiam diri. Ia merujuk kepada JPPM untuk bertanya bagaimana status WC boleh dinaik taraf ke peringkat kebangsaan (Malaysia). Syarat yang dinyatakan oleh JPPM (ketika itu) ialah ialah WC perlu ada sekurang-kurangnya 7 cawangan berstatus Negeri yang berdaftar dengan JPPM setiap Negeri. Hasrat Abg Joe untuk menaikan taraf WC ini tidak kesampaian apabila beliau berundur dari WC. 

Sistem di JPPM akhirnya beralih kepada sistem yang lebih pantas dan efisen menerusi e-roses. Ketika proses migrasi antara sistem lama ke sistem baru, berlaku ralat pada nama wajaclub. Ia hilang dalam sistem. Bagaimanapun atas usaha Cyroy dan Vi Hashim, ralat tersebut akhirnya berjaya diperbetulkan. Teks wajaclub dalam kurungan itu berjaya dikembalikan. Selepas migrasi no pendaftaran WC bertukar kepada PPM-007-05-30072009

Kronologi 3 : Perihal Logo
Logo WC adalah hasil ilham arwah Razif dengan Fairus. Ia sebenarnya berpandukan kereta waja sdr Zaki evo10. X-WC006. Logo ini dicipta penghujung 2004 (awal 2005). Ketika ini ia tidak ditakrif. Dan nama wajaclub pun belum ada lagi. Sebab masa itu ia masih disebut WMC-KL. Setelah nama WMC-KL ditukar kepada WC atau wajaclub dan sdr Fairus pun telah membeli URL wajaclub, baru teks wajaWCclub itu diletakan di bawah logo dan url www.wajaclub.com disertakan sekali. Ia kekal sehingga hari ini!

Kemudian ketika mendaftarkan WC ke JPPM, pihak pendaftar mensyaratkan logo itu perlu ditakrif terlebih dahulu sebelum didaftarkan dalam perlembagaan kerana ia terkandung di dalam Fasal 3. Reka bentuk logo juga perlu disertakan secara berasingan dari salinan asal perlembagaan dengan kertas putih bersaiz A4 sebanyak 3 helaian yang tidak boleh difotostat.

Maka selaku setiausaha, Abg Joe telah membuat takrifan berikut perihal logo WC itu :
Kelab menggunakan lambang kereta nasional waja yang direkabentuk secara grafik. Kelab hanya menggunakan 2 warna sahaja iaitu putih dan merah.
• Warna putih yang menjadi warna asas lambang kelab menunjukan sifat keikhlasan dikalangan ahli-ahli kelab dalam menangani segala perkara secara musyawarah.
• Warna merah pada garisan yang membentuk jalur putus-putus menghala ke bonet depan kereta menunjukan bahawa pertubuhan ini memiliki semangat tabah dan berhati waja serta tidak mengenal erti kecewa dalam mengharungi segala dugaan berpersatuan. Sesuai dengan imej ‘waja’ itu sendiri, warna merah pada jalur tersebut yang diakhiri dengan tanda seperti anak panah, menunjukan setiap ahli mempunyai hala tuju yang satu iaitu untuk menaikan nama kereta proton waja di persada dunia.
Manakala teks ‘WajaClub’ di bawah lambang kereta tersebut adalah sebagai lambang penaung kelab dan menjadi tapak kepada keseluruhan lambang. Teks ‘WC’ pula menunjukan semangat gabungan setiakawan antara sesama ahli.
Kronologi 4 : AGM
Pra-AGM pertama WC berlangsung pada 04hb April, 2009 bersamaan 04 rabiul’akhir, 1430 hijrah di Komplek Kejiranan P16, Putrajaya. Iaitu 3 bulan lebih awal sebelum WC mendapat sijil kelahirannya. Surat jemputan ke Pra-AGM WC ini dirujuk pada surat rasmi dengan rujukan : Pent. Jilid 1/06/(0309)/WC/(N.S). Bermakna dalam fail Pentadbiran Jilid 1, bil surat ke 6 dikeluarkan oleh setiausaha pada bulan 3 tahun 2009. Jumlah ahli berdaftar ketika itu ialah 149 orang.  

Era AGM WC akhirnya mendapat perubahan paradigma dengan MT WC memperkenalkan tatacara AGM khususnya kaedah pemilihan AJK dan MT WC pada tahun 2010 iaitu dengan cara mengadakan pilihanraya menurut acuan WC. Sdr Kamarul telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihanraya WC (JKPR-WC). Sistem kerja juga diwujudkan dengan membuat skedul kerja bagi memantapkan pilihanraya pertama WC. Maka untuk pertama kalinya kotak-kotak undian secara langsung dibuka. Kecuali bagi pencalonan yang dilakukan terlebih dahulu menerusi borang khas untuk memilih calon-calon yang bertanding. Ini sekaligus menunjukan era pentadbiran WC yang semakin moden dan sistematik.

Sistem pemilihan pertandingan ini juga membuatkan forum WC menjadi begitu popular dengan persaingan sihat antara calon-calon yang bertanding. Rata-rata masing-masing menolak pencalonan kerana masing-masing tidak mengejar pangkat dan kuasa ketika itu. Bahkan ada yang sukarela menarik diri dari bertanding apabila mendapat tahu dia akan bertanding dengan sahabatnya sendiri. Ahli-ahli pun menjadi serba salah dalam membuat undian disebabkan faktor ‘persahabatan’ yang sangat tinggi di kalangan semua ahli ketika itu.

Justeru tidak hairanlah jawatan presiden dimenangi oleh sdr Fairus menerusi kelebihan 1 undi mengatasi Abg Joe pada tahun 2010. Dan mereka masih boleh bersahabat baik sehingga saat ini. Sistem pemilihan MT WC ini kemudian dikemaskini menjadi lebih baik sesuai dengan bilangan ahli yang semakin bertambah.

Kronologi 5 : Sejarah Pentadbiran WCM.KL ke WC

2004 – Presiden : Arwah Razif (Johor)
VP : Fairus (Wilayah Persekutuan)
2005 – Presiden : Fairuz (Wilayah Persekutuan)
VP : tiada
2006 – Presiden : Mahadir (Wilayah Persekutuan)
VP : Lola (Selangor)
2007 – Presiden : Mahadir (Kuala Lumpur)
VP : Lola (Selangor)
2008 – Presiden : Mahadir (Kuala Lumpur)
VP : Lola (Selangor)
2009 – Presiden : Aloy (Negeri Sembilan)
VP : Lola (Selangor)
2010 – Presiden : Fairuz (Wilayah Persekutuan)
VP : Abg Joe (Negeri Sembilan)
2011 – Presiden : Suhaimi (Johor)
VP : Ajai (Selangor)
2012 – Presiden : Suhaimi (Johor)
VP : Ajai (Selangor)
2013 – Presiden : Suhaimi (Johor)
VP : Ajai (Selangor)
2014 – Presiden : Badrul (Perak), Kamarudin (Kuala Lumpur)
VP : Din Janggut (Melaka)
2015 – Presiden : Kamarudin (Kuala Lumpur)
VP : Din Janggut (Melaka)
2016 – Presiden : Yusairi (Perak)
VP : Padil Tebo (Terengganu)
2017 – Presiden : Yusairi (Perak)
VP : Padil Tebo (Terengganu)

Ahad, 12 Ogos 2012

MEMBONGKAR NOSTALGIA LAMA - NGO

Tak tau nak buat apa hari ni, sekadar membelek nostalgia lama. Tiba-tiba terpanggil kembali kenangan lalu tatkala membelek-belek fb...

Aku punya perjalanan yang panjang bersama NGO ini - WC (Wajaclub). Bermula dari menjadi ahli biasa, aku menjawat Setiausaha WC Malaysia. Kemudian diberi kepercayaan menjawat jawatan yang lebih tinggi iaitu Timbalan Presiden WC Malaysia, sehingga akhirnya aku meletak jawatan kerana telah 'bercerai' dengan wajaku apabila mula bermain dengan MPV. Namun secara tak rasmi mereka melantik aku sebagai Penasihat WC pula. Kini semuanya tinggal menjadi sejarah..menjadi memori yang tidak terpadamkan. Aku menumpukan perhatian kepada NGO di tempatku pula. Ermm..setiap yang bermula pasti ada yang berakhir.







Selasa, 6 Disember 2011

PERSATUAN PENDUDUK TAMAN SRI PAGI

KHIDMAT NASIHATku ditanggih lagi ! Aku menerima phone call dari Pegawai Khas MB En. Jufree Hashim. Beliau yang mengendalikan Pusat Khidmat Barisan Nasional di Taman Sri Pagi meminta aku menolongnya mendaftarkan persatuan penduduk Taman Sri Pagi. Ini mungkin kerana setelah melihat aku berjaya mendaftarkan Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 dan persatuan tersebut pula telah dapat melaksanakan satu program besar baru-baru ini (Lawatan TPM), En. Jufree tergerak pula untuk menubuhkan persatuan penduduk di tempatnya.

Sabtu, 24 September 2011

RANCANGAN MENGABUNGKAN PROGRAM BESAR ANTARA 3 PERSATUAN

HASRAT  ini telah aku sampaikan pada 2 buah NGO iaitu Persatuan Penduduk Taman Panchor Jaya Fasa 3 dan Persatuan Penduduk Taman Sri Kasih. Aku telah menyuarakan gambaran rancangan ini kepada pengerusi Persatuan Penduduk Taman Panchor Jaya Fasa 3 iaitu Hj. Zubir Hj. Dahari, sahabat baikku dari Persatuan Penjaja (PPPKMNS) serta setiausaha Persatuan Penduduk Taman Sri Kasih iaitu En. Mohamad Yusof Wahab yang juga sahabat baik ku di PPPKMNS. Tak pastilah sama ada rancangan ini kelak akan jadi impian semata kerana berdasarkan pengalaman aku yang lepas-lepas, menyatukan atau mengabungkan pelbagai NGO dalam satu program amatlah sukar. masing-masing mempunyai masalah dalaman sendiri. Tapi ye lah, tak cuba tak tau kan. Aku masih belum menyampaikan hasratku ini pada pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 yang aku adalah setiausahanya (setakat inilah).

Apa rancangannya ya? Rancangan awalnya ialah untuk membuat satu rombongan besaran ke persatuan penduduk di taman lain (mungkin negeri lain). Ada juga cadangan untuk menganjur sukaneka antara persatuan penduduk. Ia lebih berkonsepkan Hari Keluarga.

MESYUARAT AGUNG KALI KE:5 PPPKMNS - CAW. SEREMBAN SELATAN

Baru-baru ini aku berkesempatan menyibukan diri membantu sebuah NGO (Persatuan Penjaja-Penjaja Dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Negeri Sembilan- Cawangan Seremban Selatan @ PPPKMNS) mengadakan majlis Rumah Terbuka, Perasmian pejabat persatuan dan Mesyuarat Agung Tahunannya. Kiranya majlis 3 dalam 1. Mungkin dah nasib aku, dalam kebanyakan NGO, aku selalunya dilantik atau terlantik menjadi SU atau paling kurang timbalan SU. Dan untuk kali ini, nampaknya...aku masih terlantik menjadi SU juga. Satu bidang tugas yang sebenarnya tidak membebankan aku kerana memang aku suka menulis dan kerja-kerja menulis itu begitu sinonim pula dengan jawatan sebagai SU (Setiausaha). Cuma yang menjadi masalahnya, takut jika aku tidak terpikul lagi jawatan yang bernama SU ini setelah kian banyak NGO asyik menawarkan aku jawatan yang sama. 


YDP Negeri (Tengah)


Antara AJK baru yang dilantik


YB Dato' Hj. Yunus Rahmat (Kiri)


Hamper penghargaan untuk YDP Negeri


Hamper sumbangan Persatuan


YB menjamu juadah yang ada


Ketibaan YB Dato' diiring YDP Negeri


Mantan Bendahari cawangan 2009


Mantan Bendahari Cawangan 2011


Setiausaha baru yang dilantik


Orang-orang kuat persatuan


Sebahagian ahli persatuan yang hadir


Kalangan peniaga wanita


Persiapan - Memasang riben


Majlis memotong riben oleh YB


Majlis memotong riben oleh YB


SU dan bekas SU sedang berbincang


Ucapan aluan oleh YDP cawangan


YB Dato' Hj. Yunus Rahmat


2 orang YDP (cawangan dan Negeri)

YDP Negeri, Dato' Hj. Zainol

Gambar 21

Jumaat, 21 Januari 2011

PPPKMNS. Caw Seremban selatan

Aku cuba tidak bercakap apabila menghadiri mesyuarat penting sebuah pertubuhan/persatuan. Entah kenapa atau aku memang tersalah langkah, aku mengikut isteriku menghadiri mesyuarat khas Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Negeri Sembilan, Cawangan Seremban Selatan (PPPKMNS). Mesyuarat itu khas untuk AJK sahaja. Tapi aku hadir atas kapasiti ahli biasa. Mesyuarat itu lebih kepada mesyuarat luahan pendapat. Banyak perkara berbangkit yang menjadi isu dan terpaling panas tentang kewangan. YDP Negeri juga turun sebagai pemerhati bersama timbalannya iaitu Dato' Hj. Zainol Ishak dan En. Asmadi Mat Nazir.

Seboleh mungkin aku hanya mahu jadi pendengar. Tapi entah kenapa timbalan YDP Caw. Seremban Selatan yang mempengerusikan mesyuarat, En. Mohd Yusof Wahab meminta aku bercakap sesuatu. Biasalah bila penulis diberi peluang bercakap, aku jadi lupa diri. Aku tanya, apakah status pendaftaran PPPKMNS Caw.Seremban Selatan? YDP Negeri mengatakan ia masih sah. Kataku; bermakna laporan AGM telah dihantar ke pendaftaran pertubuhan! Timb. YDP Negeri pula mencelah, sebenarnya YDB Caw. Seremban Selatan seorang yang 'smart'. Dia faham undang-undang dan peraturan Pejabat Pendaftar. Lantas aku memaklumkan kepada YDP Caw. Seremban Selatan "Saya perlukan sesalinan perlembagaan PPPKMNS!". Untuk berhadapan dengan YDP Caw. Seremban Selatan (Yang mana kebanyakan ahli telah sepakat untuk mengenepikannya), aku tidak boleh main hentam kromo. Jadi dengan meneliti perlembagaan PPPKMNS, aku boleh memikirkan tindakan yang terbaik untuk diambil terhadap YDP Caw. Seremban Selatan yang nampaknya sudah tidak mendapat kepercayaan rata-rata ahli Caw. Seremban Selatan.

Akhirnya mesyuarat memutuskan timb YDP Caw. Seremban Selatan sekarang iaitu En. Yusof mengambil alih pentadbiran PPPKMNS Caw. Seremban Selatan. Setiausaha diberikan kepada Hj Zubir. Aku sendiri secara tiba-tiba dilantik menjadi bendahari menggantikan En Baharin yang telah uzur, tapi aku sempat menolak. Sudah terlalu banyak tanggungan jawatan yang aku sandang. Tak larat lagi dah!. Tapi jawatan bendahari itu terpaksa dipikul oleh isteriku yang secara tidak langsung tetap terpikul padaku.

Ketika berbincang secara tidak rasmi dengan SU cawangan baru-baru ni, SU menyarankan aku duduk dalam MT sebagai Timb. YDP. Dalam keadaan sekarang aku tidak dapat berjanji apa-apa kerana rasanya dari segi jawatan dalam kebanyakan persatuan, aku boleh dikatakan telah kebanjiran jawatan-jawatan penting. Aku takut hilang fokus dan ini tentunya memberikan impak pada persatuan lain. Dengan pendaftaran persatuan penduduk yang terpaksa aku buat sekarang, rasanya jawatan Timb. YDP tu terlalu berat buatku.

Selasa, 18 Januari 2011

PENDAFTARAN PERSATUAN PENDUDUK



Nah satu lagi tugasan menantiku....
Pengalaman mendaftarkan sebuah pertubuhan dulu (Wajaclub) menuntut aku untuk membantu mewujudkan satu persatuan/pertubuhan di tempat aku sendiri. Kebetulan semalam (18/01/2011) aku menghadiri satu mesyuarat khas berkenaan usul undi tidak percaya pada YDP sebuah persatuan penjaja yang aku dan isteriku adalah ahlinya (Isteriku adalah AJK Negeri manakala aku hanya ahli biasa). Aku tak tau kenapa rata-rata AJK mengajak aku menghadiri mesyuarat yang sepatutnya aku tidak perlu hadir kerana status aku yang bukan AJK.





Kesempatan menghadiri mesyuarat itu mengingatkan aku kepada perbincangan aku dengan seorang ketua Umno cawangan di tempat aku yang ingin menubuhkan sebuah persatuan. Ia telah lama dirancang tetapi tidak dapat lagi direalisasikan kerana beberapa masalah. Aku tidak melihat ia sebagai satu masalah besar sebenarnya kerana yang terkesan oleh aku ialah masalah tiada orang yang nak menguruskannya (pendaftarannya). Yang merancang dan bercakap ramai tapi yang tukang buat kerja tiada. Sama jugalah dengan sejarah pendaftaran Wajaclub yang sekian lama tertangguh sejak 2005 gara-gara tiada orang yang sukarela memanjat tingkat 6 Wisma Yayasan Negeri Sembilan untuk membeli borang daftar pertubuhan di Pendaftar Pertubuhan (ROS).


Sebaik habis mesyuarat dengan pesatuan penjaja, aku bergegas ke tingkat 6 Wisma Yayasan Negeri Sembilan. Perkara remeh tentang mendaftarkan persatuan/pertubuhan ini bukanlah kerana perlu membayar RM30.00, tetapi masalah dokumentasi. Para petugas ROS ni begitu prihatin terhadapat soal dokumentasi ini sehingga mereka mengariskan satu tata cara yang perlu diikuti dan ia adalah mandatori!. Aku harap pengalaman mengisi borang, merangka perlembagaan dan menyediakan minit mesyuarat serta mengadakan AJK Penaja seperti yang pernah aku buat semasa mendaftarkan Wajaclub dulu berguna. Aku dah terbayangkan agaknya berapa kali pulak aku kena panjat tingkat ini dalam proses menghantar borang pendaftaran nanti.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Monolog.....
Aku dan WajaclubKeindahan Kembara Yang Tidak Terjangkakan
Bermula dengan suka-suka sekadar mencari teman-teman akhirnya Menemukan rakan dan sahabat

Mungkin pengaruh atau memang dah dilorongkan, jenama kereta nasional waja ini langsung tiada dalam kotak fikirku. Aku lebih senang ke hulu ke hilir malah melewati segenap negeri di Malaysia ini dengan Iswara hijauku. Kalau terfikirpun untuk menukar kenderaan lain, MPV adalah sasaran utamaku. Maklum keluargaku besar. 7 orang semuanya. Sebelum terjebak dengan kelab kereta waja ini, aku ceritakan dulu bagaimana aku terjebak membeli ‘waja’ ini dulu. Ya, aku tidak memaksa kalian membaca kisah ini, tetapi jika kalian memang telah membaca sampai ke teks ini, maknanya secara tanpa sedar, aku telah menjebak kalian ke dunia permotoranku

Ceritanya bermula begini, seperti biasa aku dengan rakan kongsiku ingin bertemu dengan seorang pustakwan untuk bersarapan pagi. Memang semaklum aku dia mengguna pakai wira putih. Kira jenama kereta nasional la. Dalam perjalanan bertemu dengannya, rakan kongsi aku menalipon pustakawan itu, dia menjawab dia sekarang menunggu kami di sebuah restoran sekitar Bandar Baru Bangi. Kami bergegas ke sana. Aku parking kereta aku betul-betul berhadapan restoran dan kerusi tempat dia minum. Dia senyum tawar melihat aku dan rakan kongsi aku keluar dari saga iswara hijauku. Memang hampeh!. Tapi aku tidak menjangkakan ada kejutan yang lebih hampeh lagi kerana selepas itu tak pasal-pasal duit aku akan terbang 4k! Rasanya belum betul-betul aku menikmati minum pagi yakni segelas teh tarik mamak, pustakawan itu bersuara dengan penuh semangat keegoannya “Bro, aku dah tukar kereta!” Aku buat tak kisah tapi rakan kongsi aku bertanya spontan. “ Kereta apa?” Pustakawan itu menunjuk dengan memek bibirnya “tuuuu!!!, sebelah keta kau tu”. Aku terkasima seketika. Ceh, saiz kereta dia lagi besar dari kereta aku. Waja tu!. Seketika aku rasa secawan teh tarik kedai mamak yang aku minum dah rasa macam sebaldi cuka getah.

Waja dah murah sekarang katanya, seakan mencurah sedikit garam dalam minumanku! Aku tanya dia “berapa ko bayar duit hantaran?”. “Lebih kurang 4K” katanya lagi. Yang tak tahan dia siap cakap “Kalau ko nak, ada 1 lagi waja kaler hitam dah siap modi dia punya bodikit..R3. petang ni aku nak pegi settlekan hal wajaku ni, kalau nak aku boleh tanyakan toke kedai tu” . Sudah!!! Dia tabur racun lak dalam minumanku. Aku cakap kat dia, “okeylah, ko tanyalah...nanti ko kol aku”. Sebenarnya aku tak begitu serius dengan kata-kataku itu sebab aku sayangkan sewara hijauku. Tapi rupanya dia betul-betul tanyakan toke kedai tu dan deal dgn toke tu bagi pihak aku. Menjelang petang pustakawan itu kol aku “Joe, jadi tak? Aku tergamam..hah!!! “ok jadi “ kataku spontan. Lepas tu otak fikirku ligat mencari ilham macam mana nak berdrama dengan orang rumah. Apa alasan terpaling munasabah yang nak aku berikan pada dia. besoknya aku pergi ke kedai kereta tu dengan rakan kongsiku. Ermm..cantik, aku cakap kat toke kedai tu..jadikkkk!!! memang aku suka dengan waja R3 ni sebab aku minat dengan Tenku Djan Lee setelah menonton aksi driffnya di TV. . petang tu aku letak duit hantaran. Aku pesan kat pustakawan tu, aku dah booked! Dokumen aku akan hantar kemudian. Besoknya toke kedai tu kol aku, “Sori encik, R3 tu owner tak jadi jual. Loan dia tak lepas untuk trade in Honda FFR!!” baru aku tahu waja R3 tu owner tumpang letak kat kedai usecar tu. Dengar cerita dia nak ambil Honda. Toke kedai tu jadi racun ketiga pula, “tak apa encik, kami ada banyak stok waja lagi ni. Esok cik datang dan pilih saja mana nak...” rasa aku nak sumpah toke tu dan semua peracun-peracun tu jadi waja R3. Akhirnya tanpa ada plan yang khusus, aku sambar jugak la waja tu. Aku cakap kat orang rumah “Kawan abang nk pinjam cek booked 3 hari. Dia nak bayar muka beli kereta.” Orang rumah aku tak banyak cakap terus tanda tangan cek kosong. 4 hari kemudian toke tu kol aku “encik, loan sudah approve. Boleh datang ambil kereta.” aduhhhhh...!!! apa aku nak cakap dengan orang rumah? Yang dia tahu wajatu bukan aku punya tapi pustakawan itu punya. Ahhh!! Lantak. Aku ajak orang rumah pegi ambil kereta tu. .” Dari seremban kami naik komuter sahaja sampai Mid Valley kerana kalau aku bawak sewara hijauku, nanti sapa pulak nk bawak kereta tu balik Seremban! Kalau biarkan orang rumahku yang memandu..kompom aku sampai Seremban dengan waja tu, dia entah sampai ke mana dengan sewara hijau tu sebab dia tak mahir dengan jalan Kola Lumpur!. Seminggu jugaklah aku pakai waja tu dengan mengatakan ia kepunyaan kawanku (si pustakawan tu). Sampailah isteri ku tanya “Baik betul ya kawan abang tu...bagi pinjam kereta lama-lama kat abang?” akhirnya aku mengalah “ Keta tu kita punya, bukan kawan abang punya!” aku dah bersedia mendengar deruman leteran isteriku. “Aik..? Iswara tu dah rosak ke?..” aku mengambil keputusan diamkan diri. Biar masa menyejukan hatinya. Masalah pertama selesai. Macam mana pula aku nak minta isteriku tanda tangan cek lagi untuk aku make up kereta?. tak payah ceritalah kan..hehehehe. Lebih kurang sebulan je kereta wajaku itu berkeadaan ori kilang. aku bawak ia ke kedai mak andam (kedai eksesori). Aku pasangkan bodikit R3. Masa ni lah aku terserempak dengan gang wajaclub Negeri Sembilan, sdr Sham Marshal (masa ni dia timbalan ketua komuniti Negeri sembilan). Aku mengambil masa lebih kurang seminggu untuk berfikir samada nak joint WC atau terus dengan ProCC. Akhirnya lewat bulan ogos 2008, aku sah menjadi ahli WC Komuniti Negeri Sembilan. Cuma sebagai ahli biasa, tak sangka lak boleh sampai kepada ahli luar biasa. Hehehehe! Yang paling luar biasa bila masuk WC ni ialah duit keluarpun luar biasa. Macamlah aku orang bujang yang nak habiskan duit untuk kereta, bukan untuk keluarga. Sehingga ke satu tahap, aku sedar. Memang tak kemana dengan dunia modifikasi kereta ni. Ia bukanlah matlamat utama aku masuk kelab. Aku hanya mencari rakan dan bizness! Tapi bertukar-tukar idea tentang dunia kereta tu memang antara pengetahuan yang aku dapat secara tidak langsung. Dan lagi jika aku bersama keluarga menikmati cuti-cuti Malaysia, rakan-rakan WC sentiasa ada di mana-mana. Ini antara beberapa perubahan yang aku buat. Kebanyakan perubahan dilakukan secara berperingkat. Tidak sekaligus, tu yang tak perasan baki akuan semakin berkurangan tu... Yang kelakarnya, ia bukan idea aku tapi idea rakan-rakan WC. Idea aku cuma, macam mana nak cover balik duit yang terbang? Dan lagi semakin aku memikirkan untuk tidak melabur pada wajaku, semakin banyak pula dugaan berupa pujukan dari rakan-rakan kelab... Akhirnya aku sedar dari angan yang panjang, dari lena yang sunyi, masih ada keperluan lain yang perlu aku bawa dalam mimpi malam...sebelum orang lain menganggap aku telah mengingau...!!!
Ditulis: 10 Januari, 2011

DEKLARASI

Deklarasi
Semua butiran dan artikel yang disiar dalam blog ini hanyalah pendirian peribadi penulis, tiada kena mengena dengan yang hidup dan mati; kecuali yang dinyatakan. Pengendali tidak akan bertanggungjawab ke atas segala isu-isu berbangkit.