Kebetulan aku baru selesai mesyuarat AJK surau malam kelmarin. Jadi ingin aku kongsi cerita dengan anda semua. Ada 2 kisah yang aku rasa boleh dikongsikan. Pertama cerita 'hukum' dan kedua cerita 'bas'.
Pada satu program yang lepas yang aku sendiri terbabit dalam urusetianya iaitu Hari Keluarga Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 anjuran bersama UMNO Cawangan RPSF2, Badan Kebajikan RPSF2 dan Surau Infitah Al-Khairiah RPSF2. Oleh kerana sambutannya diluar dugaan maka pihak urusetia terpaksa menyewa sebuah bas untuk menampung permintaan. Kadar sewa bas ialah RM400.00. Peruntukan yang kami dapat tidak mencukupi untuk menampung sewa tersebut. Maka pengerusi surau telah mengadakan satu mesyuarat. Dalam mesyuarat tersebut diputuskan Surau Infitah Al-Khairiah akan membiayai separuh (RM200) dari sewa tersebut. Ini dipersetujui secara sebulat suara. Aku fikir perkara ini selesai. Cer citer..cer citer...
Dalam mesyuarat AJK kali ke 2 untuk penggal 2011 ini, perkara ini telah ditegur oleh timbalan pengerusi surau. Bila laporan kira-kira dibentangkan oleh bendahari, timbalan pengerusi berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku. Tidak boleh pihak surau membiayai satu aktiviti yang motifnya untuk berseronok. Setiausaha mencelah dengan mengatakan perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat dan majoriti bersetuju. Timbalan Pengerusi terus menempelak setiausaha dengan mengatakan sebagai AJK surau, adalah menjadi tanggunjawab AJK (termasuk setiausaha) untuk memastikan segala aliran kewangan surau digunakan bagi tujuan yang diperbolehkan. Tentu saja aku turut terkasima kerana aku juga salah seorang AJK!. Padam muka aku!.
Beberapa orang lagi AJK mempertahankan dengan mengatakan RM200 itu digunakan untuk kepentingan semua dan ia melibatkan seluruh penduduk tanpa mengira mereka orang KRT, mereka orang surau, mereka orang UMNO atau mereka orang dari persatuan/kelab manapun, yang penting mereka orang Islam. Aku juga berpendapat begitu. Cuma dari segi keseronokan itu, memang agak sukar untuk dikawal. Dengan jumlah peserta hampir 200 orang, mesti ada yang kami terlepas pandang. Dan salah satu pengisian hari keluarga itu kami telah mengadakan kuliah subuh dan ceramah motivasi selain sukaneka dan pertandingan memancing. Malangnya ada juga persembahan karaoke pada sebelah malamnya. Tapi masa ni imam tidak turut serta.
Apa yang ditekankan Timbalan Pengerusi merangkap imam 1 Surau Infitah Al-Khairiah ialah hukum. Maka lorong hujah Timbalan Pengerusi itu ialah fekah. Aku tidaklah mengaku aku ni pandai tentang agama tetapi kerana aku pernah belajar dan pernah menulis 5 buah buku-buku agama hasil dari pembelajaran aku dulu, ingin aku berkongsi sedikit pengetahuan. Bukan nak melawan Timbalan Pengerusi merangkap imam 1 berhujah ya...hehehehe.
Sebelum bercakap aku minta maaf dahulu pada sekalian jemaah yang hadir. Sebab apa yang aku cakapkan nanti akan terkena pada seseorang dan orang itu pula kebetulan ada pada malam mesyuarat itu (Pengerusi Jiran Wanita KRT). Aku katakan pada Timbalan Pengerusi, kalau terjatuh hukum haram pada warga surau kerana menganjurkan hari keluarga yang pada pandangannya hari untuk seronok-seronok, ia juga sepatutnya terhukum pada KRT kerana mereka juga menganjurkan hari keluarga dan dalam barisan AJK KRT itu, Timbalan Pengerusi adalah AJK yang memegang portfolio Biro Agama. Timbalan Pengerusi mengatakan duit yang digunakan oleh KRT adalah dari Jabatan Perpaduan manakala duit yang digunakan oleh surau untuk membiayai bas itu adalah dari Baitulmal. Sebenarnya payah untuk ditentukan kerana kebetulan aku yang membuat kertas kerja surau, aku taulah mana datang sumber duit surau. Ia datang dari 2 sumber iaitu Baitulmal dan Pejabat MB. Tapi itu bukan persoalan yang ingin aku jadikan alasan hujah.
Oleh kerana hujjah Timbalan Pengerusi adalah dari sudut ilmu feqah, maka kita tidak boleh memperlekehkan hukum. Timbalan Pengerusi sendiri berkeras mengatakan 'hukum tetap hukum'. Sebenarnya kalau tidak memikirkan mesyurat itu diadakan di surau, mau saja aku mengatakan; betul kata Timbalan Pengerusi, hukum tetap hukum maka wajib terpakai juga hukum itu kepada KRT. Kecuali jika Timbalan Pengerusi berpendapat hukum itu terpakai kepada AJK surau sahaja kerana mereka beragama Islam sedangkan ia tidak terpakai pada AJK KRT kerana mereka kafir! Setelah sekian banyak aktiviti KRT yang 'seronok-seronok' yang aku pasti Timbalan Pengerusi maklum, siapa antaranya yang akan menanggung hukum haram itu? Tambahan seluruh AJK KRT pada padangan aku adalah orang Islam. Atau memang pandangan mata aku dengan pandangan mata Timbalan Pengerusi lain? Entahlah.....tapi aku kongsikan juga pendapat aku ini dengan beberapa orang AJK surau yang lain agar mereka beroleh sedikit ketenangan setelah tegang dalam mesyuarat. Bagi aku, biasa sahaja...memang hobi aku berhujah.