Yang hendak aku tuliskan di sini ialah tentang ragam manusia di kawasan kejirananku dan ia mungkin boleh dijadikan panduan pada anda semua kerana anda juga pasti duduk dan hidup di kawasan kejiranan tertentu. Seperti yang aku catatkan pada penulisan yang lepas, kertas kerja yang aku buat iaitu Ziarah Ilmiah ke Masjid Kristal telah diluluskan. Dengan tidak bermaksud mengenepikan pengerusi surau, aku menyusun segala perancangan untuk merealisasikan program ziarah itu termasuk soal peserta, tempat tidur, tentatif program, jadual perjalanan serta memasukan sekali program ziarah Masjid Terapung Tunku Tengah Zaharah. InsyaAllah 2 Masjid akan dapat diziarah oleh jemaah pada lawatan pertama kali anjuran Surau Infitah Al-Khairiah ini. Oleh kerana program ini aku yang merangkanya dari awal, aku rasa perlu aku meneruskannya sehingga selesai. Jadi, dalam fatamorgananya, semua indah-indah belaka. Namun kerana aku sudah terbiasa dengan dunia fatamorgana, seperti melihat air di padang pasir, bila dihampiri ia tiada apa-apa hanya fatamorgana alam dan godaan nafsu, aku sentiasa bersedia untuk apa sahaja dugaan dan halangan.
Nah! setelah segala penyusunan aku buat, cuma menantikan masa sahaja, pengerusi mencadangkan kepadaku agar jemaah yang pergi mengikuti program ziarah itu dihadkan untuk 1 keluarga tidak lebih dari 3 orang. Sedangkan dalam senarai aku telah ada 42 orang yang mewakili hanya 9 keluarga sahaja. Kenapa 9 keluarga? Kerana secara rutinnya 9 keluarga inilah yang mengimarahkan surau. Mereka tidak datang hanya kerana ada program-program tertentu tetapi datang kerana menyedari tuntutan agama dan kewajipan bersolat. Jadi aku rasa mereka inilah jemaah harian surau yang perlu aku utamakan. Tidak dinafikan ada jemaah-jemaah lain yang tidak dapat hadir ke surau setiap hari atau minggu kerana tertakluk pada jadual kerja atau kerana sebab-sebab tertentu. Namun dalam situasi memilih yang utama dari utama dan dengan peruntukan yang dapat yang cuma mampu menyewa sebuah bas, aku terpaksa menggunakan budi bicaraku sendiri dalam menyenaraikan 42 orang pelawat tersebut.
Mungkin pengerusi tidak bersetuju tapi seperti yang aku jangkakan ketika mula-mula merangka kertas kerja Ziarah Ilmiah ke Masjid Kristal ini, aku sudah tau, jika menganjurkan sesuatu yang percuma, kita akan ada lebihan penyertaan. Tetapi jika program itu berbayar, nak cukupkan 42 orang itu bukan sesuatu yang mudah. Begitu juga dalam mengimarahkan surau ataupun masjid, untuk mencapai satu kapasiti yang ramai, AJK menjadi pening kepala. Surau Infifah Al-Khairiah melalui dana yang diperolehi dari Menteri Besar dan Baitulmal telah melakukan renovasi yang drastik seperti penukaran karpet baru, PA sistem baru, pemasangan penghawa dingin, pemasangan pagar baru dan mengecat keseluruhan struktur bangunan surau - dengan harapan dapat menjemput lebih ramai jemaah datang ke surau sementelah aspek fizikal surau sudah cukup menyelesakan jemaah. Tetapi penyataan statistik kehadiran jemaah adalah jauh dari apa yang AJK surau harapkan kecuali jika kedapatan program-program tertentu. Dan ketika pragram ziarah ini berjaya mendapat peruntukan, tiba-tiba ramai orang yang ingin turut serta dan cuba menjadi jemaah surau secara tiba-tiba. Ianya bagus kerana itulah antara objektif yang aku tuliskan dalam kertas kerja dulu. Tetapi aku terpaksa mengutamakan jemaah tegar surau yang sentiasa ada tanpa mengira surau ada penghawa dingin atau tidak, ada karpet baru atau tidak, ada pagar baru atau tidak, ada PA sistem baru atau tidak.
Namun aku tahu ini adalah program luaran surau yang pertama kali dibuat. Kertas kerja yang aku hantar adalah testimoni untuk mengatur perancangan seterusnya. Jika sambutan seperti sekarang dan ia membantu menambah statistik jemaah ke surau, aku tidak nampak alasan kenapa aku tidak perlu membuat kertas kerja untuk program ziarah menggunakan 2 buah bas pada tahun depan.
Mungkin agak terlewat, tapi ketika catatan ini aku buat, 1 lagi kertas kerja mohon peruntukan untuk membiayai 1 lagi bas telah aku buat tetapi atas nama Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Senawang Fasa 2. Kali ini jika berjaya, jemaah surau yang dalam stok KIV itu akan dapat turut serta melawat Masjid Kristal dan Masjid Terapung Tunku Tengah Zaharah. Dan harapanku agar jemaah KIV ini bila balik dari lawatan itu nanti akan menjadi jemaah surau yang berstatus permanent. InsyaAllah.
0 ulasan:
Catat Ulasan